Wednesday, March 24, 2010

Tengas Ataupun Kelah Emas

Apakah benar ikan tengas (Acrossocheilus hexagonolepis) dikatakan keluarga kelah (Tor Tombroides). Ini kerana riak wajah, bentuk, habitat dan pemakanan mereka hampir sama dan hanya sedikit perbezaan yang sukar antara kedua spesies ini.
Bahkan, sekali imbas kelah lebih "kacak" berbanding tengas berikutan ia "bersisik emas" manakala tengas "bersisik perak". Bagaimanapun, persamaannya, kedua-dua spesies ini memancarkan sinar jika dipantul cahaya lampu akuarium.
1. Sifat: Berbadan bulat dengan seluruh badan diselimuti sisik putih perak berkilauan. Mempunyai sepasang mata bulat, jernih serta dihiasi alis mata yang menawan. Justeru, kini ia mula mendapat tempat sebagai ikan hiasan berprestij dan berharga mahal.
Ia suka bergerak aktif, mundar mandir ke sana ke mari dan tidak suka menyepi diri sebagaimana ikan ketutu (Oxyleotris marmoratus).
Bentuk kepalanya lebih besar serta lebar daripada kelah. Sementara di bawah dagunya tidak terdapat lekok (seakan lesung pipit) sebagaimana kelah.
Boleh dikelaskan sebagai ikan demersal. Banyak masa dihabiskan di dasar sungai dasar berpasir.
2. Pemakanan : Anak ikan kecil menjadikan makanan utama. Selain itu, buah hutan seperti jambu air, kelapa sawit, mareh dan nerang turut menjadi makanan tambahan selain daripada serangga yang terjatuh ke dalam air.
3. Habitat: Spesies ini gemar bermain di kawasan air deras yang dasar sungainya berpasir. Kawasan jeram bebas cemar menjadi kawasan permainannya.
Justeru, ia lebih senang ditemui di kawasan berjeram di hulu sungai berair jernih. Apa yang menarik, lazimnya, kawasan yang terdapat banyak tengas tidak terdapat kelah. Fenomena ini terlalu sukar dihuraikan kenapa boleh berlaku.
4. Lokasi: Stok ikan ini boleh ditemui dengan mudah di sepanjang hulu sungai Pahang yang bermula di Taman Negara Kuala Tahan, Sungai Sia, Jeram Perahu Jerantut, Merapoh, Sungai Jelai dan Sungai Chinchin di Taman Negeri Endau Rompin.
Walaupun ia juga terdapat di hulu sungai kecil seperti Bera, Semantan dan juga sungai Lembing, tetapi populasinya berkurangan.
Apa yang menarik, spesies ini hanya boleh dikesan di kawasan persekitaran bersih yang bebas daripada pencemaran.
5. Pembiakan: Walaupun ia dikelaskan sebagai ikan gred satu sebaris dengan kelah (Tor tambroides), sebarau (Hampala macrolpidota) atau baung (Mystus spp.), tetapi ia masih menjalani pembiakan di habitat asal.
Setakat ini, belum ada mana-mana pihak yang berjaya melakukan pembiakan untuk tujuan komersil. Malah, penternak masih memburu anak-anak ikan kecil di kawasan pedalaman untuk ternakan.
Lazimnya, permulaan musim hujan adalah musim membiak bagi tengas. Bahkan, juga spesies ikan sungai lain. Ini berikutan, perubahan iklim dan suhu air yang berubah mendorong proses ini berlaku.
6. Menangkap: Hanya terdapat dua kaedah utama menangkap tengas. Paling popular ialah penggunaan pancing atau jaring.
Umpan kelapa sawit peram paling mustajab memperdaya tengas. Mungkin bau masam sawit peram berjaya membangkitkan nafsu seleranya untuk meratah umpan.
Tetapi, pemburu tengas harus bijak memilih lokasi. Sebaiknya kawasan jeram atau lata berair deras adalah kawasan terbaik membuat pilihan. Perlu di ingat, sawit peram hendaklah diletakkan (rendam) di dalam air deras agar bau masam yang di bawa arus boleh menarik perhatian tengas.
Dipercayai, bau masam yang dibawa arus ini mampu membuatkan tengas yang berkeliaran di bawah jeram akan bergerak ke atas mencari bau umpan. Sekali gus, jika terserempak umpan sawit, terus dibahamnya.
Bagi penjaring, pastikan anda pandai menyelam. Jaring hendaklah ditahan di dasar (middle-bottom) sungai bagi memastikan hanya tengas terperangkap. Jika tidak, tengas yang dicari susur batang (Rasbora einthoveni), temperas (Cyclocheilichthys apogon), terbul (Osteochilus hasseltii), rong (Osteochilus spilurus) atau lampam sungai (Puntius schwanenfeldii) yang terperangkap.
7. Pemuliharaan sumber: Sejak kebelakangan ini ia mula diburu secara berlebihan untuk tujuan komersil. Banyak anak ikan kecil yang ditangkap dijual sebagai ikan hiasan di kedai akuarium, malah ada yang mengeksport keluar negara.
Modus operandi ini banyak dilakukan di daerah Raub, Ulu Tembeling Pahang, sungai Pergau, sungai Dabong, Lebir, Bertam dan sekitar sungai-sungai kecil di Ulu Sungai Kelantan.
Jika dibiarkan, pemburuan secara rakus ini mampu mengakibatkan sumber akan pupus. Keadaan ini berlaku, berikutan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara sebagai ikan hiasan. Harganya cukup menarik. Tengas bersaiz sentimeter mampu dijual dengan harga RM3 hingga RM4 seekor.
Seharusnya jabatan terbabit perlu membuat kajian mengenai kepentingan sumber spesies ini dari segi ekonomi jangka panjang bagi penduduk tempatan.
Namun, kerakusan ini boleh diatasi jika kita ikhlas benar-benar ingin menyelamatkan spesies ini. Caranya mudah. Pertama, labelkan sebagai spesies kawalan dagangan di bawah Appendik 1 "Convention on the International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora" (CITES).
Kedua, pehak berkuasa negeri boleh mewartakan kawasan yang dikenal pasti sebagai "Kawasan Santuari" atau "Musim Tertutup Menangkap Ikan" dengan mengadakan pengua\kuasaan enakmen berkaitan.
8. Resepi: Paling hebat jika dimasak lemak cili api. Untuk membangkitkan baunya, masukkan sedikit daun kesom secukup rasa atau bunga kantan. Bau harum daun kesom serta bunga kantan mampu membangkitkan selera penggemar ikan air tawar.
Sesetengah berpendapat, ini resepi paling hebat bagi tengas. Rasa dagingnya yang manis serta berisi tebal membuatkan kita tidak jemu meratahnya.
Di samping itu, ia juga sedap jika dimasak gulai tempoyak. Resepi ini sangat popular bagi penduduk sekitar Ulu Tembeling, Jerantut dan Kuala Lipis.

Wednesday, March 10, 2010

Memburu Sebarau Pertak

Setelah 20 minit memandu dari Bangsar ke Sentul untuk mengambil dua orang kawan (Brother Mi & Cikgu) kami terus ke Sungai Buaya (Rawang), di sanalah Rahim sedang menunggu dengan umpan dan kenderaan untuk kami ke Kuala Kubu, Hulu Selangor. Kali ini kami menaruh harapan yang cukup tinggi untuk merasakan sendiri kehebatan sentapan dan semangat melawan ikan sebarau yang cukup terkenal dengan kehebatan melawannya. Spesies keluarga Kelah yang cukup garang dan kerana inilah juga ia menjadi tarikan kepada kaki-kaki pancing.
Aku yang menggunakan motor Ryobi, rod Berkerly dan kelengkapan Sure Catch begitu bersemangat dari semalam. Sebenarnya dah lama aku tak turun jeram untuk keluarga kelah maupun sebarau, pengalaman yang sedikit berlapuk akan berkilau walaupun diasah sedikit, ni kalau member dengar maunyer menyampah diaorang tu. Sesampainya di empangan Hulu Selangor kami singgah di perkampungan orang asli Pertak, setelah membuat bayaran untuk tempat letak kereta, aku dapati begitu ramai pengunjung yang berkunjung ke tempat itu pada hari minggu, ada yang datang untuk mandi, ada yang datang untuk sekadar menikmati pemandangan yang indah tetapi yang menariknya ramai yang datang dari jauh semata-mata untuk memancing. Tapi kami membuat satu kesilapan kerana semasa di pekan Kuala Kubu, kami lupa untuk membeli air minuman dan oleh kerana itu mahu tak mahu kami terpaksa minum air sungai. Nasib baik juga air Sungai Pertak jernih dan sejuk.
Semasa kami tiba di 'port' baiknyer iaitu kuala Sungai Pertak, aku sendiri dapat rasakan bahawa akan berbaloi hari ini. Riak air hijau kehitaman memang menyimpan banyak ikan. dengan umpan 'Gedek', anak udang, 'hong' kami pun masing-masing dengan keghairahan melabuhkan umpan. aku dan Mi memulakan dengan activiti 'casting' tapi tidak mendapatkan sebarang hasil maka kami bertukar kepada umpan anak udang. Haa memang berhasil bila Mi menaikkan anak sebarau yang mana umpan anak udang memang boleh digunakan. Kami mendapat tahu bahawa kami juga boleh menggunakan umpan tapa, sawit, cacing malahan perut ayam untuk ikan seperti baung, lampam, jelawat, pacu.. ader jugak brader kat situ bagitahu saiz ikan kat sini juga ader yang mencecah berkilo, malah pernah kaki pancing bawak naik patin 12 kilo... ; )


Jumpa lagi... adious






Tuesday, March 9, 2010

Memancing Udang Galah Sungai Dabong

Kelantan mempunyai jaringan sungai-sungai yang amat menarik untuk di terokai, dengan tebing yang menghijau dengan berbagai species tumbuhan yang begitu menarik. Apatah lagi sikap penduduk di kampung-kampung yang begitu peramah membuatkan pengunjung berasa amat selesa dan selamat. Aper yang lebih istimewa di sini ialah makanan-makanan tempatan seperti Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Nasi Lemak yang dijual pada harga yang murah jika nak dibandingkan dengan harga makanan di tempat lain.

Sungai ini juga mengalamai revolusinya tersendiri yang mana mempengaruhi aktivitinya. Apabila hilang musim 'Bah' maka musim kemarau mengjenguk tiba... satu kegembiraan bagi penduduk pesisir sungai termasuklah penghuni pingiran Sungai Dabong atau nama sebenarnya Sg. Galas, bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan itu sendiri malah juga penduduk kejiranan seperti Jelawang, Kuala Gris, Kampung Jena dan banyak lagi kerana musim ini sungai memberi segala macam hasil didalamnya dari ikan, udang, hidupan air yang lain malah juga pasir dan kayu-kayan.

Tetapi dalam banyak perkara yang menarik itu, Memancing Udang Galah adalah yang paling menarik. Bagi kaki-kaki pancing yang hobinyer tak leh berenggang ngan pancing musim kemarau adalah satu musin yang amat menarik walaupun bagi orang lain adalah musim yang tak berapa sihat untuk aktiviti luar, terbayang renggutan dan sentapan udang galah yang sekali sekala umpan cacing itu juga turut disentap Baung maupun Tilam.

Dengan sampan 'fiberglass' usang ayah, aku bersama sepupu aku Nasrol, Suhaimi dan Hamdan mengambil tekad menghulu sungai menuju Kuala Raya yang mana menurut orang kampung memang lubuk udang galah. Pernah ada seorang dapat menaikkan hingga 10 kilo bagi satu malam, dan itu yang kami harapkan pada hari ini. Pukul 2:00 petang kami melabuhkan perahu di sekitar Kuala Raya dan dengan menggunakan cacing air, tak sampai setengah jam Hamdan mendaratkan udang pertamanya. Riuh meriah sehinggakan perahu orang seberang pun menyahut pekikan gembira kami. Setelah beberapa tempat kami menjarah lubuk-lubuk sekitar dan setelah membuat perkiraan maka kami berlabuh di pengkalan Pok Hing, di situ setiap joran asyik berdering dengan 'drag' sentapan kita orang. tak sampai 15 minit seekor dapat dinaikkan... keseronokan yang tidak terhingga.
Jika tidak kerana adik aku buat hal rasanya kami di lubuk itu sampai pagi tetapi apakan daya perutnyer buat hal dan mengimbau seribu kenangan bersamanya... pahit untuk Aceng tapi manis buat kami, satu kisah yang boleh diceritakan sehingga kami terketar-ketar ketuaan memegang joran kesayangan kami... ikuti bulan depan aku pergi memburu sebarau di Kuala Kubu...
* ingin berkongsi kisah, aku boleh di hubungi di ei_smile@yahoo.com.my