Bahkan, sekali imbas kelah lebih "kacak" berbanding tengas berikutan ia "bersisik emas" manakala tengas "bersisik perak". Bagaimanapun, persamaannya, kedua-dua spesies ini memancarkan sinar jika dipantul cahaya lampu akuarium.
1. Sifat: Berbadan bulat dengan seluruh badan diselimuti sisik putih perak berkilauan. Mempunyai sepasang mata bulat, jernih serta dihiasi alis mata yang menawan. Justeru, kini ia mula mendapat tempat sebagai ikan hiasan berprestij dan berharga mahal.
Ia suka bergerak aktif, mundar mandir ke sana ke mari dan tidak suka menyepi diri sebagaimana ikan ketutu (Oxyleotris marmoratus).
Bentuk kepalanya lebih besar serta lebar daripada kelah. Sementara di bawah dagunya tidak terdapat lekok (seakan lesung pipit) sebagaimana kelah.
Boleh dikelaskan sebagai ikan demersal. Banyak masa dihabiskan di dasar sungai dasar berpasir.
2. Pemakanan : Anak ikan kecil menjadikan makanan utama. Selain itu, buah hutan seperti jambu air, kelapa sawit, mareh dan nerang turut menjadi makanan tambahan selain daripada serangga yang terjatuh ke dalam air.
3. Habitat: Spesies ini gemar bermain di kawasan air deras yang dasar sungainya berpasir. Kawasan jeram bebas cemar menjadi kawasan permainannya.
Justeru, ia lebih senang ditemui di kawasan berjeram di hulu sungai berair jernih. Apa yang menarik, lazimnya, kawasan yang terdapat banyak tengas tidak terdapat kelah. Fenomena ini terlalu sukar dihuraikan kenapa boleh berlaku.
4. Lokasi: Stok ikan ini boleh ditemui dengan mudah di sepanjang hulu sungai Pahang yang bermula di Taman Negara Kuala Tahan, Sungai Sia, Jeram Perahu Jerantut, Merapoh, Sungai Jelai dan Sungai Chinchin di Taman Negeri Endau Rompin.
Walaupun ia juga terdapat di hulu sungai kecil seperti Bera, Semantan dan juga sungai Lembing, tetapi populasinya berkurangan.
Apa yang menarik, spesies ini hanya boleh dikesan di kawasan persekitaran bersih yang bebas daripada pencemaran. 5. Pembiakan: Walaupun ia dikelaskan sebagai ikan gred satu sebaris dengan kelah (Tor tambroides), sebarau (Hampala macrolpidota) atau baung (Mystus spp.), tetapi ia masih menjalani pembiakan di habitat asal.
Setakat ini, belum ada mana-mana pihak yang berjaya melakukan pembiakan untuk tujuan komersil. Malah, penternak masih memburu anak-anak ikan kecil di kawasan pedalaman untuk ternakan.
Lazimnya, permulaan musim hujan adalah musim membiak bagi tengas. Bahkan, juga spesies ikan sungai lain. Ini berikutan, perubahan iklim dan suhu air yang berubah mendorong proses ini berlaku.
6. Menangkap: Hanya terdapat dua kaedah utama menangkap tengas. Paling popular ialah penggunaan pancing atau jaring. Umpan kelapa sawit peram paling mustajab memperdaya tengas. Mungkin bau masam sawit peram berjaya membangkitkan nafsu seleranya untuk meratah umpan.
Tetapi, pemburu tengas harus bijak memilih lokasi. Sebaiknya kawasan jeram atau lata berair deras adalah kawasan terbaik membuat pilihan. Perlu di ingat, sawit peram hendaklah diletakkan (rendam) di dalam air deras agar bau masam yang di bawa arus boleh menarik perhatian tengas.
Dipercayai, bau masam yang dibawa arus ini mampu membuatkan tengas yang berkeliaran di bawah jeram akan bergerak ke atas mencari bau umpan. Sekali gus, jika terserempak umpan sawit, terus dibahamnya.
Bagi penjaring, pastikan anda pandai menyelam. Jaring hendaklah ditahan di dasar (middle-bottom) sungai bagi memastikan hanya tengas terperangkap. Jika tidak, tengas yang dicari susur batang (Rasbora einthoveni), temperas (Cyclocheilichthys apogon), terbul (Osteochilus hasseltii), rong (Osteochilus spilurus) atau lampam sungai (Puntius schwanenfeldii) yang terperangkap.
7. Pemuliharaan sumber: Sejak kebelakangan ini ia mula diburu secara berlebihan untuk tujuan komersil. Banyak anak ikan kecil yang ditangkap dijual sebagai ikan hiasan di kedai akuarium, malah ada yang mengeksport keluar negara.
Modus operandi ini banyak dilakukan di daerah Raub, Ulu Tembeling Pahang, sungai Pergau, sungai Dabong, Lebir, Bertam dan sekitar sungai-sungai kecil di Ulu Sungai Kelantan.Jika dibiarkan, pemburuan secara rakus ini mampu mengakibatkan sumber akan pupus. Keadaan ini berlaku, berikutan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara sebagai ikan hiasan. Harganya cukup menarik. Tengas bersaiz sentimeter mampu dijual dengan harga RM3 hingga RM4 seekor.
Seharusnya jabatan terbabit perlu membuat kajian mengenai kepentingan sumber spesies ini dari segi ekonomi jangka panjang bagi penduduk tempatan.
Namun, kerakusan ini boleh diatasi jika kita ikhlas benar-benar ingin menyelamatkan spesies ini. Caranya mudah. Pertama, labelkan sebagai spesies kawalan dagangan di bawah Appendik 1 "Convention on the International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora" (CITES).
Kedua, pehak berkuasa negeri boleh mewartakan kawasan yang dikenal pasti sebagai "Kawasan Santuari" atau "Musim Tertutup Menangkap Ikan" dengan mengadakan pengua\kuasaan enakmen berkaitan.
8. Resepi: Paling hebat jika dimasak lemak cili api. Untuk membangkitkan baunya, masukkan sedikit daun kesom secukup rasa atau bunga kantan. Bau harum daun kesom serta bunga kantan mampu membangkitkan selera penggemar ikan air tawar.
Sesetengah berpendapat, ini resepi paling hebat bagi tengas. Rasa dagingnya yang manis serta berisi tebal membuatkan kita tidak jemu meratahnya.
Di samping itu, ia juga sedap jika dimasak gulai tempoyak. Resepi ini sangat popular bagi penduduk sekitar Ulu Tembeling, Jerantut dan Kuala Lipis.